Hari Khamis nanti (10 Januari 2008) kita akan menyambut tahun baru. Tahun baru Hijrah. Bercakap mengenai hijrah ini, sememangnya kita semua digalakkan berhijrah. Berhijrah kepada jiwa yang baru paling penting. Dari negatif kepada positif. Baru-baru ini, rakan saya ada mengutarakan pandangan tentang sikap sesetengah orang yang tidak mahu berhijrah dari kampungnya. Walau bagaimanapun, beliau berjaya dalam bidang yang diceburinya. Saya rasa tidaklah menjadi kesalahan beliau tidak mahu berhijrah dari kampungnya, namun rakan saya menyatakan setiap orang patut berhijrah dari kampung. Jangan duduk di bawah ibu bapanya sahaja. Betul. Mungkin untuk beberapa tahun. Namun jika hatinya terdetik untuk balik ke kampung, bagaimana? Mungkin beliau boleh menjadi penggerak dalam sesebuah kampung sekurang-kurangnya. Ubah sikap dan minda yang tidak sepatutnya melekat.
Saya percaya banyak lagi di kampung-kampung sana tidak mendapat kemudahan yang sepatutnya dinikmati setelah 50 tahun kemerdekaan. Justeru itu, tidak hairanlah terdapat beberapa pemikiran yang masih melekat di minda mereka. Bagaimana mengubahnya?
Persekitaran adalah antara perkara-perkara penting dalam hal ini. Mengapa terdapat sesetengah pemikiran masih ada? Sebab persekitaran mereka. Mereka tidak didedahkan dengan banyak hal. Namun ada juga kampung yang lebih advance, rata-rata ada Astro. Bagus. Cuma di sini ingin tekankan apa yang mereka baca. Bahan bacaan yang tidak berilmiah banyak mempengaruhi. Salah satu sebab utama kenapa sesetengah pemikiran masih melekat kuat.
Bagi mengubah keadaan ini, saya merasakan bahawa anak-anak kampung yang berjaya hendaklah selalu turun menjenguk keadaan. Bagaimana nak majukan ia lebih lagi. Mungkin sebuah perpustakaan yang lengkap dengan bahan-bahan berilmiah. Mungkin mereka hanya pandang sahaja pada permulaan tetapi lama-kelamaan akan hidup. Pelbagaikan aktiviti. Ditambah dengan guru-guru yang berkhidmat di sana, sedikit sebanyak dapat membantu. Dengan cara mengajak mereka suka ke sana, terutama yang belia, sedikit sebanyak mengajak mereka berfikir lebih jauh.
Tentang isu tidak mahu berhijrah @ mahu tinggal bersama ibu bapa, agak subjektif. Walau bagaimanapun, jika niatnya untuk memberikan lebih perhatian kepada ibu bapa, lebih baik. Tidak boleh membawa mereka tinggal bersama-sama di tempat lain? Boleh, namun mungkin juga tidak betah keadaan di sana. Bagi saya, tidak salahnya tinggal di kampung kelahiran. Namun, kita perlu berhijrah sesekali. Merasa tinggal di tempat orang. Terutama bagi yang masih muda.